Pasaran ekuiti akan terus meningkat pada 2018

KUALA LUMPUR: Pasaran ekuiti akan terus berada dalam aliran meningkat pada 2018 di sebalik ketidaktentuan pasaran yang lebih besar, demikian menurut
Pacific Mutual Fund Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif, Teh Chi-cheun berkata isu dasar dan politik boleh menyebabkan pasaran tidak menentu, termasuk peningkatan
ketegangan perdagangan, walaupun jangkaan kes asas pihaknya ketiadaan perang perdagangan secara besar-besaran.

Faktor lain termasuk kesan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), penyusutan di zon euro, perubahan pentadbiran AS, rundingan Brexit dan risiko
geopolitik, sama ada Asia Barat, Russia atau Korea Utara.

“Di peringkat tempatan, pilihan raya umum yang akan berlangsung tidak lama lagi mungkin menyebabkan aktiviti perlahan memandangkan pelabur dan peniaga
menunggu pembubaran Parlimen selain pelbagai situasi dan kempen politik.
“Oleh itu, bagi bursa tempatan, terdapat beberapa peluang dalam persekitaran ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Teh berkata, data ekonomi dunia dan tempatan terus kukuh dan mampan, sekali gus menunjukkan prestasi pasaran yang baik setakat ini pada 2018, susulan
pencapaian memberangsangkan pada 2017.

“Risiko yang timbul daripada dasar dan politik menyebabkan pasaran menjadi lebih tidak menentu. Kami menjangkakan pasaran akan terus berada dalam aliran
meningkat walaupun dengan peningkatan ketidaktentuan pasaran. Bagi jangka pendek pasaran diunjurkan mengalami turun naik kecil,” katanya.

Sementara itu, Pacific Mutual mengumumkan agihan pendapatan sebanyak RM15.8 juta kepada pelabur bagi tujuh dananya.

Ia mengumumkan agihan pendapatan tahunan sebanyak lima sen bagi seunit Pacific Pearl Fund; 2.5 sen seunit bagi Pacific Dana Aman; 1.7 sen seunit bagi Pacific
Dana Murni serta 2.5 sen seunit bagi Pacific Focus China Fund.

Syarikat itu juga mengumumkan agihan sukuan 0.4 sen seunit bagi Pacific Cash Fund.
Sebagai tambahan, agihan bulanan turut diumumkan bagi Pacific Cash Deposit Fund pada 0.3 sen seunit dan Pacific OCBC Cash Fund pada 0.25 sen seunit bagi
Mac 2018. — Bernama

Sumber: Utusan Borneo Online

Share this:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Posted by Sabah Maju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *