Jangan gadai masa depan negara: Sapawi

SIPITANG: Anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya mengambil iktibar daripada sejarah perjuangan ketika dalam perkhidmatan dahulu dan tidak terikut-ikut rentak pembangkang yang cuba menangguk di air keruh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketika memberi peringatan itu, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad menegaskan perjuangan veteran tentera pada masa lampau penuh cabaran
bagi meletakkan negara pada kedudukan stabil, maju dan makmur hari ini.

Katanya, keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sekarang perlu dipertahankan demi kelangsungan kemajuan serta kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau berkata anggota veteran tentera mengharungi detik perjuangan mencabar, justeru masa depan tidak boleh digadaikan.

“Ada pihak yang bernafsu besar mahu mengubah kerajaan yang ada hari ini, tapi perjuangan mereka bukan untuk kepentingan negara, sebaliknya untuk kepentingan diri serta untuk membalas dendam,” katanya.

Menurutnya, usaha menukar kerajaan yang ada tidak semudah menukar baju kerana risiko dan implikasinya amat besar, sebagaimana terbukti di beberapa tamadun kuasa luar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis santai bersama Persatuan Veteran ATM (PVATM) Parlimen Sipitang di sini pada Ahad.

Majlis dihadiri lebih 300 anggota PVATM dan keluarga masing-masing.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar  merangkap ADUN Lumadan Datuk Kamarlin Ombi, ADUN Sindumin Datuk Ahmad Bujang serta Pengerusi PVATM cawangan Sipitang Kahmis Bair.

Sapawi yang juga pengarah Yayasan Sabah menegaskan kerajaan sentiasa memberi perhaian kebajikan anggota veteran tentera, termasuk dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan.

Katanya, ia dilakukan kerana kerajaan mengiktiraf serta menghargai sumbangan anggota veteran tentera sejak dahulu.

“Kerajaan mengakui peranan veteran tentera sebagai tulang belakang yang mempertahankan negara. Kemerdekaan yang dikecapi hari ini hasil perjuangan
veteran tentera, sehingga membawa kestabilan walaupun dalam kepelbagaian kaum,” katanya.

Beliau yang juga ketua bahagian UMNO Sipitang mengingatkan mereka supaya sentiasa waspada dengan cubaan pihak pembangkang memesongkan fakta dan memperlekeh usaha kerajaan untuk meraih simpati menjelang PRU14.

Katanya, pembangkang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan diri mereka semata-mata dan perjuangan bukan berpaksikan kepentingan rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, Kahmis menegaskan pendirian persatuan untuk terus bersama-sama pimpinan kerajaan yang telah terbukti berjasa dalam menjaga kebajikan serta kepentingan anggota keselamatan termasuk veteran tentera.

Dalam konteks Parlimen Sipitang, beliau berkata pihaknya akan menyokong siapa saja yang diketengahkan sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

“Apa yang penting, kerajaan hari ini perlu dipertahankan. Kita telah berjuang lama dalam pasukan dan memimpin persatuan ini, jadi kami tahu mengenai perhatian yang diberikan kerajaan kepada anggota keselamatan selama ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anggota PVATM supaya menunaikan kewajipan dan tanggungjawab dengan bijaksana pada PRU14.

Sumber: Utusan Borneo Online

Share this:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Posted by Sabah Maju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *