15 Tahun Politik Stabil, Masyarakat Sabah Makmur. Perlu Diperjudikan?

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yakin rakyat akan memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dan tidak akan memperjudikan nasib masa depan Sabah dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Pengundi kita lebih matang sekarang dan akan menilai sendiri prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan dan pembangkang – siapa yang ikhlas memberi perkhidmatan kepada rakyat atau hanya ingin mendapatkan kuasa,” katanya.

Musa berkata isu utama yang perlu dipertimbangkan ialah Barisan Nasional mengotakan segala janji-janjinya sejak lima tahun yang lalu dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Sabah dari semua kaum.

“Rekod prestasi kerajaan saya sepanjang 15 tahun yang lalu adalah jelas. Kami telah membawa kestabilan politik, kesejahteraan masyarakat dan bantuan kepada rakyat. Kita sudah menikmati keamanan dan keharmonian yang lebih baik, dan ini mendorong pelaburan dan pertumbuhan untuk mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan pendapatan secara agresif, lantaran membuka laluan bagi pertumbuhan ekonomi yang lebih besar,” katanya dalam temu bual bersama CNBC Asia minggu lalu.

Beliau berkata dalam perjalanan menuju PRU14, penyebaran maklumat dan berita melalui media digital dan sosial menjadikannya kritikal bagi BN untuk memastikan mereka berkongsi kisah kejayaan mereka, sambil membetulkan pembohongan dan berita palsu dengan serta-merta.

 “Penting agar masyarakat luar bandar memahami dan merasakan sendiri kesan pembangunan yang mereka mahukan. BN Sabah telah bekerja bersungguh-sungguh demi memastikan suara rakyat didengari and kita bertindak aspirasi mereka. Saya yakin rakyat memberi kepercayaan kepada Barisan Sabah dan tidak akan memperjudikan nasib masa depan Sabah,” katanya.

Mengenai landskap politik semasa Sabah, Musa berkata kerjasama politik di kalangan Parti komponen  Barisan  Nasional adalah sangat baik, dan walaupun ada perbezaan pendapat atas beberapa isu – yang penting ada perbincangan terbuka untuk menangani isu yang timbul.

“Menteri-menteri Kabinet saya yang berasal dari pelbagai masyarakat di seluruh Sabah ketika ini bekerjasama erat dalam memastikan jalinan yang kita bina untuk mengekalkan kestabilan, keamanan dan pertumbuhan ekonomi dikekalkan. Ini adalah pasukan sama yang bersama-sama dengan saya sejak tahun 2009. Sudah tentu, kami mempunyai perbezaan tetapi saya selalu berkata, sentiasa ada ruang untuk perbincangan bagi menyelesaikan apa-apa isu yang diketengahkan.

“Kami juga mengekalkan hubungan rapat Sabah-Pusat. Perdana Menteri Dato’ Seri Najib sering memperhatikan keperluan Sabah dan menerima permintaan Pusat untuk memberi peruntukan bagi projek infrastruktur (RM4.3 bilion pada tahun 2017) dalam enam segmen berbeza – kemudahan perumahan, jalan raya, elektrik dan air di kawasan luar bandar, program pembasmian kemiskinan dan projek-projek lain.

“Satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan pada 2015 untuk menangani Hak-Hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 telah memberi tumpuan kepada pemulihan hak-hak Sabah sepenuhnya. Kemajuan yang ketara telah pun dilaksanakan. PM sendiri telah berkata bahawa jika kerajaan Pusat secara tidak sengaja mengambil hak tersebut, ia akan dipulangkan. Beliau merupakan PM pertama yang akan menangani masalah ini,” katanya.

Semasa musim pilihan raya, beliau berkata memang menjadi perkara biasa untuk melihat bermacam-macam janji politik ditaburkan. Beberapa parti baru telah dibentuk hanya untuk mencuba nasib mereka pada pilihan raya yang akan datang tanpa dasar atau strategi jangka panjang yang jelas untuk kebaikan Sabah. Ahli pembangkang yang marah kini membentuk perikatan yang tidak telus dan bertindak merangsang sentimen perkauman dan agama.

Tindakan tidak bertanggungjawab mereka berpotensi untuk memecahbelahkan dan menggoncang asas-asas kestabilan politik, keamanan dan kemakmuran ekonomi negeri Sabah yang telah dinikmati selama 15 tahun yang lalu.

 

Share this:
  • 785
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Posted by Sabah Maju

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *